KUCHING: Kemenangan dua pertiga Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) ini adalah isyarat jelas rakyat Sarawak mengiktiraf dan menginginkan parti tempatan menerajui pentadbiran negeri ini.
Ketua Whip GPS, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini turut menggambarkan bahawa rakyat Sarawak sangat matang dalam menilai dan memilih pemimpin berdasarkan rekod pencapaian yang cemerlang.
Ujarnya, kemenangan bergaya GPS ini sekali gus membuktikan bahawa rakyat Sarawak menolak parti yang tidak mempunyai agenda pembangunan yang jelas termasuk parti yang berpangkalan di Semenanjung.
“Kemenangan ini adalah amanah yang diberikan oleh rakyat yang harus dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS yang telah dipilih.
“Oleh itu, semua ADUN GPS perlu bertungkus lumus memberikan komitmen dan khidmat yang terbaik demi menggalas mandat rakyat dan negeri Sarawak ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, kemenangan ini juga adalah isyarat kepada ahli parlimen GPS untuk bekerja lebih keras sekiranya menginginkan kemenangan seperti ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan kelancaran dan keselamatan terjaga sepanjang tempoh PRN12 diadakan.
Sumber dari : Jiwa Bakti